KUALA LUMPUR, 19 Mei 2026 – Majlis Pelancaran Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 berlangsung penuh gilang-gemilang di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya hari ini menerusi penganjuran oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Majlis yang menghimpunkan warga pendidikan tinggi, atlet mahasiswa serta barisan kepimpinan universiti itu dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku sebelum diteruskan dengan persembahan pembukaan dan tayangan montaj perjalanan SUKIPT yang menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan mahasiswa.

Acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Dato’ Seri Profesor Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, Naib Canselor Universiti Malaya selaku tuan rumah SUKIPT 2026. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepada Universiti Malaya untuk menjadi hos temasya sukan terbesar institusi pengajian tinggi negara itu.
Menurut beliau, SUKIPT bukan sahaja menjadi platform melahirkan atlet mahasiswa berkualiti, malah berperanan memperkukuh perpaduan, menyemai semangat daya saing serta membentuk sahsiah generasi muda.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan pelancaran rasmi oleh Datuk Ts. Dr. Mohd Azman Bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi. Pelancaran tersebut menjadi simbolik kepada permulaan perjalanan SUKIPT 2026 yang dijangka berlangsung lebih meriah dengan penyertaan institusi pendidikan tinggi dari seluruh negara.
Kemuncak acara menyaksikan gimik pelancaran rasmi SUKIPT 2026 yang memperkenalkan identiti baharu temasya berkenaan termasuk logo rasmi, video promosi, laman sesawang, maskot serta piala pusingan utama SUKIPT.
Suasana dewan terus gamat apabila penyanyi dan pelakon terkenal, Amir Masdi, tampil menyampaikan Lagu Tema SUKIPT 2026 yang membakar semangat para hadirin. Lebih menarik, beliau turut menghiburkan tetamu menerusi persembahan istimewa lagu popular “Gemuruh” nyanyian asal Faizal Tahir, sebuah karya yang sinonim dengan semangat perjuangan dan motivasi dalam kalangan atlet negara.
Penganjuran majlis pelancaran ini jelas mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperkasa pembangunan sukan di peringkat institusi pendidikan tinggi, sekali gus melahirkan lebih ramai bakat sukan berpotensi untuk negara.

Photo by : Azam Masri



