SHOPEE CUP FINAL: Taktikal Mantap Selangor FC Sedia Gegarkan Stadium MBPJ

at 9313

PETALING JAYA, 19 Mei 2026 – Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon, menyifatkan pasukannya berada pada tahap terbaik menjelang aksi final pertama Shopee Cup menentang Buriram United yang bakal berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), esok.

Beliau berkata demikian ketika sesi sidang media pra-perlawanan yang turut dihadiri pemain tengah import Selangor FC, Hugo Boumous, di Stadium MBPJ hari ini. Menurut Kim Pan Gon, skuad Gergasi Merah telah melakukan persiapan rapi bagi menghadapi perlawanan penting itu dan hadir dengan keyakinan tinggi untuk mempamerkan aksi terbaik di hadapan penyokong sendiri.

“Kami tidak sabar menantikan perlawanan esok. Pasukan kami telah membuat persiapan yang sangat baik dan para pemain berada dalam keadaan positif,” katanya.

Pengendali dari Korea Selatan itu turut menegaskan bahawa kekuatan taktikal pasukan, sama ada dari aspek pertahanan mahupun serangan, menjadi antara faktor utama yang meningkatkan keyakinan Selangor menjelang aksi final berprestij tersebut.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan pertemuan menentang Buriram United sebagai cabaran besar memandangkan kelab dari Thailand itu mempunyai reputasi kukuh serta kualiti tinggi di pentas bola sepak Asia Tenggara.

 at 9310

“Buriram merupakan pasukan yang kuat dan kami menghormati mereka. Perlawanan ini pasti akan menjadi aksi yang kompetitif buat kedua-dua pasukan,” ujarnya.

Kim Pan Gon turut memaklumkan bahawa tiada kecederaan serius membabitkan pemain utama Selangor menjelang aksi final itu, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan kepada barisan kejurulatihan untuk menurunkan kesebelasan terbaik. Beliau turut mengakui rekod cemerlang Selangor ketika beraksi di laman sendiri menjadi suntikan semangat tambahan buat pasukan dalam usaha memburu keputusan positif pada aksi pertama final tersebut.

Tambahnya, ketiadaan dua tonggak penting Buriram sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada Selangor untuk memanfaatkan peluang yang ada, namun beliau tetap mengingatkan para pemain agar tidak memandang rendah kemampuan lawan. Dalam pada itu, beliau menyeru para penyokong untuk terus memberikan sokongan padu kepada pasukan serta bersama-sama mencipta suasana luar biasa di Stadium MBPJ malam esok.

Aksi final pertama Shopee Cup antara Selangor FC dan Buriram United dijangka menjadi tumpuan peminat bola sepak serantau apabila kedua-dua pasukan memburu kelebihan awal sebelum aksi timbal balik berlangsung.

 at 9366

Photo by : Firdaus Azis

Scroll to Top