KUALA LUMPUR, 19 Mei – Sportflex Media & Event Sdn. Bhd. hari ini menzahirkan sokongan terhadap penganjuran Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 menerusi penglibatan sebagai salah satu penaja temasya berprestij tersebut.
Majlis Pelancaran SUKIPT 2026 yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya menyaksikan pelbagai pengumuman penting termasuk pelancaran logo rasmi, video promosi, laman web, maskot dan piala pusingan utama kejohanan.
Pengarah Urusan Sportflex Media & Event Sdn. Bhd., Abdullah Firdaus Bin Abd Jalil, berkata penglibatan Sportflex dalam SUKIPT 2026 merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat untuk terus menyokong pembangunan sukan tanah air khususnya di peringkat institusi pendidikan tinggi.
“Bagi saya, sukan universiti bukan sekadar platform pertandingan tetapi medan melahirkan bakat, kepimpinan dan ekosistem sukan masa depan negara. Sportflex berbesar hati dapat bersama-sama menyumbang dan menyokong SUKIPT 2026,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa kerjasama antara industri, sektor korporat dan institusi pendidikan amat penting dalam memastikan pembangunan sukan negara terus berkembang secara mampan dan lebih kompetitif.
“Saya percaya apabila semua pihak berganding bahu, kita bukan sahaja menganjurkan satu kejohanan, tetapi membina satu legasi untuk atlet-atlet muda negara,” tambah beliau.
SUKIPT 2026 yang dianjurkan oleh Universiti Malaya dijangka menghimpunkan ribuan atlet mahasiswa dari seluruh negara dalam pelbagai acara sukan, sekali gus menjadi platform memperkukuhkan budaya sukan, perpaduan serta kecemerlangan dalam kalangan warga pendidikan tinggi Malaysia.

Photo by : Azam Masri



