NU FEST 2027 Tampil Konsep Baharu, Gabung Muzik dan Budaya Anak Muda

aus4709

KUALA LUMPUR: NU FEST 2027 bakal memperkenalkan pengalaman festival muzik berbeza dengan menggabungkan elemen hiburan, budaya dan kreativiti anak muda menerusi penganjurannya di Stadium Merdeka pada 30 Januari depan.

Dianjurkan COMs. Creative Studio dengan kerjasama AKE Seni, festival berkenaan mengangkat konsep ‘Music, Culture & Community’ yang bukan sekadar menumpukan persembahan pentas, sebaliknya menawarkan pelbagai aktiviti interaktif kepada pengunjung.

Antara tarikan yang dirancang termasuk pentas utama, kawasan ‘Rock Zone’, tempat duduk ‘Grandstand’, kawasan makanan, karnival, pasar kreatif dan ruang aktiviti yang membolehkan pengunjung menikmati suasana festival sepanjang acara berlangsung.

Wakil COMs. Creative Studio, En. Zairul Addry Helmy berkata, pihaknya mahu mengubah pendekatan penganjuran konsert konvensional dengan mewujudkan pengalaman hiburan yang lebih menyeluruh.

“Kami tidak mahu NU FEST dilihat sebagai sebuah konsert yang mempunyai ramai artis sahaja. Sebaliknya, kami mahu pengunjung datang lebih awal, menikmati suasana festival, meneroka karnival dan aktiviti kreatif sebelum menyaksikan persembahan di pentas utama,” katanya.

Festival itu turut menghimpunkan penglibatan pelbagai artis tempatan dan antarabangsa, termasuk kumpulan popular Indonesia, Nidji serta band tempatan, Masdo.

Menurut penganjur, NU FEST juga disasarkan berkembang sebagai festival tahunan yang membuka peluang kepada jenama tempatan, usahawan, pencipta kandungan dan pengusaha makanan untuk berkembang bersama.

Harga tiket bermula RM88 dengan tawaran khas pembelian berkumpulan, manakala maklumat lanjut mengenai kategori tempat duduk akan diumumkan kemudian.

PHOTO BY : MUZAKKIR REZA

Scroll to Top
Secret Link