KUALA LUMPUR – Perebutan gelaran Raja Pecut pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 bakal mencuri tumpuan apabila Jersi Raja Pecut membawa identiti Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 yang akan dianjurkan di Malaysia pada 2027. Penjenamaan khas itu merupakan hasil kerjasama strategik antara Sekretariat MASOC 2027 dan penganjur LTdL 2026 sebagai sebahagian usaha memperluas promosi serta meningkatkan keterlihatan dua temasya sukan utama Asia Tenggara berkenaan kepada khalayak tempatan dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC 2027, Datuk Abdul Rashid Yaakub berkata, LTdL menyediakan platform berprofil tinggi untuk memperkenalkan kempen Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 kepada kelompok penonton lebih luas menerusi pengaruh perlumbaan berbasikal bertaraf antarabangsa itu. Selain mendapat liputan menerusi siaran televisyen antarabangsa, identiti kedua-dua temasya berkenaan turut berpeluang menerima pendedahan menerusi platform digital, media sosial serta pelbagai aktiviti promosi sepanjang laluan perlumbaan.
Penampilan identiti Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 pada Jersi Raja Pecut juga membolehkan penjenamaan berkenaan diketengahkan secara konsisten, khususnya ketika pelumba bersaing mengutip mata di zon pecutan serta menuju garisan penamat. Sepanjang lapan peringkat LTdL 2026 dari 27 September hingga 4 Oktober, pelumba-pelumba pakar pecut bakal bersaing merebut mata dan kedudukan terbaik sambil membawa bersama identiti temasya 2027, sekali gus membantu usaha MASOC membina momentum menuju penganjuran kedua-dua acara sukan serantau tersebut.

Photo By : Muzakkir Reza



