Majlis Tertinggi RockQueen Catat Lebih 70,000 Penonton, Ella Bakal Beraksi Sekali Lagi Hujung Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Selepas berjaya menghimpunkan lebih 70,000 peminat menerusi tiga persembahan sepanjang tahun ini, Ratu Rock Malaysia, Ella bakal menutup perjalanan Majlis Tertinggi RockQueen 2026 menerusi konsert khas pada 5 Disember depan.

Konsert bertajuk Majlis Tertinggi RockQueen Ella: Sidang Penutup itu dijadualkan berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil, sekali gus menjadi persembahan terakhir bagi siri konsert berkenaan tahun ini.

Pengumuman tersebut dibuat dalam satu sidang media di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, hari ini.

Siri konsert berkenaan sebelum ini mencatat kehadiran 55,000 peminat di Stadium Nasional Bukit Jalil, diikuti lebih 5,000 penonton di Singapura dan 10,000 lagi di Pulau Pinang.

Penganjuran Sidang Penutup turut menyaksikan Ella berkongsi pentas bersama dua penyanyi terkenal tanah air, Yuna dan Datuk Ziana Zain, yang bakal membawa kelainan kepada persembahan berkenaan.

Ella berkata, perjalanan konsert sepanjang tahun ini cukup bermakna selepas menerima sokongan berterusan daripada peminat di ketiga-tiga lokasi.

“Setiap perjalanan pasti ada penghujungnya dan setiap cerita ada bab terakhirnya. Jadi, Ella mahu Sidang Penutup menjadi satu malam yang benar-benar istimewa untuk kita semua,” katanya.

Selain persembahan tiga penyanyi itu, penganjur turut memperkenalkan konsep Audience Choice yang membolehkan peminat memilih beberapa elemen persembahan termasuk tema dan senarai lagu.

Tiket konsert anjuran Hitman Solutions bersama Rockqueen itu akan mula dijual pada 22 Oktober 2026 dengan harga bermula RM179.

PHOTO BY : MUZAKKIR REZA

Scroll to Top
Secret Link