Buriram United Bawa Bekalan Tipis Dari MBPJ, Selangor FC Masih Belum Mengalah

img 4864

PETALING JAYA, 20 Mei 2026 – Selangor FC mungkin tewas tipis 0-1 kepada Buriram United dalam aksi final pertama Shopee Cup 2025/26 – ASEAN Club Championship di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi, namun perjuangan skuad Gergasi Merah masih jauh daripada berakhir.

Kekalahan tipis hasil jaringan Suphanat Mueanta pada minit ke-26 itu dilihat belum menutup peluang Selangor FC untuk mencipta kebangkitan pada aksi final kedua di Thailand minggu hadapan.

Di hadapan ribuan penyokong yang membanjiri Stadium MBPJ, skuad kendalian Kim Pan-gon memperagakan aksi penuh semangat, disiplin dan keberanian menentang antara kelab terbaik Asia Tenggara ketika ini.

Selangor FC memulakan perlawanan dengan cukup meyakinkan apabila berjaya mengawal tempo permainan serta memberi tekanan awal kepada Buriram United menerusi gerakan pantas di bahagian serangan. Sorakan padu penyokong Merah Kuning jelas menyuntik semangat luar biasa buat para pemain untuk terus berjuang sepanjang 90 minit permainan.

Walaupun Buriram United berjaya mencuri satu gol pada babak pertama, Selangor FC tidak mudah mengalah. Sebaliknya, pasukan tuan rumah terus bangkit dan memperkemaskan corak permainan dengan beberapa percubaan berbahaya berjaya dihasilkan.

img 4867

Babak kedua menyaksikan Selangor FC tampil lebih agresif dengan Faisal Halim, Alvin Fortes dan Chrigor Moraes terus mengancam benteng pertahanan lawan menerusi gerakan pantas dan serangan bertali arus. Namun, sedikit ketumpulan penyudah menyebabkan skuad Gergasi Merah gagal mendapatkan gol penyamaan yang dicari.

Apa yang lebih membanggakan, Selangor FC berjaya membuktikan bahawa mereka mampu bersaing secara seimbang dengan juara bertahan ASEAN itu sepanjang perlawanan. Disiplin taktikal, semangat juang serta intensiti permainan yang dipamerkan memberikan keyakinan bahawa peluang untuk bangkit di Thailand masih terbuka luas.

Kekalahan satu gol juga dianggap sebagai bekalan tipis buat Buriram United menjelang aksi final kedua di Chang Arena pada 27 Mei ini. Selangor FC hanya memerlukan kemenangan untuk mengubah nasib dan terus menghidupkan impian menjulang kejuaraan Shopee Cup buat pertama kali.

Dalam perlawanan sama, dua tonggak utama Selangor FC iaitu Faisal Halim dan Safuwan Baharudin turut mencipta detik istimewa apabila melengkapkan 100 penampilan bersama kelab, sekali gus menambah lagi semangat buat pasukan menjelang aksi penentuan nanti.

Kini, seluruh penyokong Merah Kuning pasti berharap kebangkitan luar biasa mampu dilakar di bumi Thailand dalam misi membawa pulang trofi ASEAN Club Championship ke Shah Alam

Photo by : Firdaus Azis

Scroll to Top