PUSAT SUKAN UPM: Pernah mengejar garisan penamat dengan baton di tangan, kini Azam memilih untuk berada di tepi trek bagi merakam aksi generasi baharu atlet olahraga menerusi lensa kameranya.
Peralihan daripada atlet kepada jurugambar sukan itu bagaimanapun tidak memutuskan kecintaannya terhadap olahraga, malah membolehkannya melihat dunia pecut dari perspektif berbeza.
Lebih bermakna, Azam menyaksikan sendiri rekod 4×100 meter yang pernah diciptanya bersama rakan sepasukan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2016 akhirnya diperbaharui selepas bertahan selama 10 tahun.
Bagi Azam, perasaan sedih apabila rekod tersebut terpadam bercampur dengan rasa bangga melihat pencapaian generasi baharu.
“Perasaan saya bercampur-baur. Ada rasa sedih, tetapi dalam masa yang sama saya bangga.
“Rekod memang untuk dipecahkan. Agak lama juga rekod itu bertahan dan sekarang kita mempunyai pelapis baharu. Itu sesuatu yang bagus,” katanya.
Menurutnya, pencapaian kuartet Johor berkenaan membuktikan acara pecut negara terus berkembang dan mempunyai barisan pelapis yang mampu mencabar rekod terdahulu.
Selepas menamatkan pengajian dalam bidang Komunikasi, Azam menjalani latihan industri bersama Sportflex Malaysia sebelum meneruskan kerjaya dalam bidang media sebagai jurugambar sukan.

Kuartet Negeri Melaka sewaktu mempebaharui rekod Temasya dalam acara 4x100m di Sarawak pada tahun 2016.
Walaupun tidak lagi bersaing di atas trek, dia masih memilih untuk berada dekat dengan dunia yang pernah menjadi sebahagian besar daripada hidupnya.
“Saya masih lagi dalam bidang sukan, cuma sekarang sebagai pengamal media, khususnya jurugambar.
“Rindu itu memang ada. Sebab itulah saya masih berada di sini dan memilih untuk membuat liputan sukan,” katanya.
Pengalaman sebagai atlet turut memberikan kelebihan kepada Azam ketika menjalankan tugas sebagai jurugambar.
Dia memahami tekanan sebelum perlumbaan, debaran ketika menunggu pelepasan, pertukaran baton dan kepuasan selepas melintasi garisan penamat.
Hari ini, dia tidak lagi memegang baton untuk mengejar rekod.
Sebaliknya, Azam memegang kamera bagi memastikan setiap detik perjuangan atlet yang datang selepasnya terus dirakam dan dikenang.
Daripada pemegang rekod kepada pencerita di tepi trek, perjalanan Azam membuktikan bahawa meninggalkan gelanggang tidak semestinya bermakna meninggalkan dunia yang dicintai.

Azam Masri ketika melepasi garisan penamat dalam acara 400m sewaktu mewakili Melaka.
Kredit Photo: SUKMA SARAWAK



