Gerak Khas 2.0 Kembali Dengan Jalan Cerita Lebih Kontemporari, Satukan Pelakon Lama dan Baharu

gerak khas 1

Selepas lima tahun menamatkan siaran menerusi Gerak Khas: The Finale, francais drama kepolisan Gerak Khas kembali ke kaca televisyen dengan naskhah terbaharu, Gerak Khas 2.0. Siri terbitan Sarawak Media Group (SMG) dan Skop Productions itu diperkenalkan pada tayangan perdana di TGV Suria KLCC, Kuala Lumpur, sekali gus membuka lembaran baharu buat antara drama bersiri paling lama dalam sejarah televisyen tempatan.

Masih mengekalkan elemen aksi dan penyiasatan yang menjadi identitinya, Gerak Khas 2.0 mengikuti misi Unit Gerak Khas yang diketuai DCP Dato’ Helmi bersama Inspektor Anding dalam membanteras sindiket jenayah berteknologi tinggi dikenali sebagai Black Hydra. Siasatan mereka turut membawa kepada misteri kehilangan seorang pakar komunikasi negara, selain mengupas konflik peribadi yang dihadapi setiap watak.

gerak khas 2

Siri arahan Datuk Dr. Yusof Haslam itu menghimpunkan semula beberapa pelakon yang sinonim dengan francais berkenaan, antaranya Dato’ Hans Isaac, Erra Fazira, C. Kumaresan, SAC (B) Datuk Shaharon Anuar, Deen Maidin, Salina Saibi dan Tisha Shamsir. Turut menyertai barisan pelakon ialah Anding Indrawani, Nabiha Aimi, Emily Elizabeth, Afiq Muiz, Fezrul Khan, Zen Ng, Meynillen Thamil Selvan serta bakat kelahiran Sarawak, Marzella Sigai.

Salah satu pembaharuan yang diketengahkan ialah pemilihan Sarawak sebagai lokasi utama penceritaan, sekali gus memberikan dimensi visual berbeza berbanding musim terdahulu. Gerak Khas 2.0 dijadualkan menemui penonton bermula 3 Julai 2026, setiap Jumaat, pukul 8.30 malam menerusi TVS di Saluran 122 (MYTV, Astro dan Unifi TV), selain boleh distrim melalui aplikasi TVS INSPIRE.

gerak khas 3
Scroll to Top