Aliff Rakib Bertemu Perdana Menteri, Anggap Penghormatan Besar Selepas Mencipta Sejarah di ONE Championship

header alif

PUTRAJAYA, 30 Julai – Jaguh Muay Thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, meluahkan rasa syukur apabila berpeluang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Putrajaya, beberapa hari selepas mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama bergelar juara dunia ONE Championship.

Aliff menyifatkan pertemuan tersebut sebagai satu penghormatan yang amat bermakna dan menjadi pembakar semangat untuk terus berjuang mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Alhamdulillah, hari ini saya berpeluang bertemu dengan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, di Putrajaya. Ia merupakan satu penghormatan yang amat bermakna buat saya dan menjadi pembakar semangat untuk terus berjuang mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan serta memberikan sokongan sepanjang perjalanan kariernya.

“Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan dan menyokong perjalanan saya. Insya-Allah, saya akan terus memberikan yang terbaik demi negara.”

Pada 24 Julai lalu, Aliff mencipta sejarah apabila menewaskan legenda Muay Thai Thailand, Sam-A Gaiyanghadao, menerusi kemenangan knockout pada pusingan kelima untuk merangkul Kejuaraan Dunia Interim ONE Strawweight Muay Thai, sekali gus muncul sebagai rakyat Malaysia pertama memenangi gelaran dunia ONE Championship.

Kejayaan bersejarah itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri yang menzahirkan ucapan tahniah serta menyifatkan pencapaian Aliff sebagai bukti bahawa anak muda Malaysia mempunyai keupayaan untuk bersaing dan berjaya di peringkat dunia.

PHOTO BY: AKMAR ALIFF

Scroll to Top