PETALING JAYA – Melaka menampilkan kebangkitan membanggakan apabila menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam aksi final acara skuasy berpasukan wanita pada SUKMA Selangor 2026, sekali gus membawa pulang pingat emas untuk negeri tersebut.

Pertandingan yang berlangsung di Kompleks Sukan Astaka MBPJ itu menyaksikan Negeri Sembilan terlebih dahulu mencuri mata menerusi perlawanan pertama selepas Chen Yu Jie menewaskan Janani 3-1. Pasukan Melaka bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan menerusi Thanusaa yang menewaskan Harleein Tan 3-1 dalam perlawanan kedua dengan mencatat kemenangan 7-11, 12-10, 11-6 dan 11-9.
Penentuan emas kemudian menyaksikan Goh Zhi Xuan tampil cemerlang untuk Melaka apabila mengatasi Haneesha 3-1 menerusi keputusan 11-8, 12-14, 11-8 dan 11-1. Keputusan itu melengkapkan kemenangan 2-1 Melaka ke atas Negeri Sembilan dan memastikan emas buat kontinjen negeri tersebut dalam acara berpasukan wanita skuasy pada SUKMA Selangor 2026. Kejayaan itu turut menyerlahkan semangat juang Melaka yang tidak mudah mengalah selepas ketinggalan pada perlawanan pertama.

Photo By : Akmar Aliff



