KUALA SELANGOR – Kontinjen Melaka membuka tirai pungutan pingat dengan penuh bergaya apabila Saidatul Ummairah Binti Md Dan menghadiahkan pingat emas pertama Melaka di SUKMA Selangor 2026 menerusi acara perseorangan wanita petanque.

Berlangsung di Arena Petanque Kompleks Sukan Kuala Selangor, Saidatul Ummairah menampilkan aksi tenang dan konsisten untuk menewaskan wakil Perak dengan keputusan 13-9 dalam perlawanan akhir pingat emas. Kemenangan itu bukan sahaja mengesahkan kejuaraan buat Saidatul Ummairah, malah menjadi detik penting buat kontinjen Melaka apabila emas tersebut muncul sebagai pingat emas sulung Melaka pada temasya SUKMA Selangor 2026.
Kejayaan berkenaan sekali gus memberikan suntikan semangat kepada atlet-atlet Melaka yang lain untuk meneruskan cabaran dalam acara masing-masing, selain menyemarakkan usaha kontinjen negeri itu memburu lebih banyak kejayaan sepanjang temasya berlangsung. Bagi Saidatul Ummairah, kejayaan di Kuala Selangor itu pastinya menjadi pencapaian cukup bermakna apabila namanya menjadi antara atlet terawal menghadiahkan kegembiraan kepada kontinjen Melaka di pentas SUKMA Selangor 2026.

Photo By : Firdausazis



