KUALA LUMPUR, 21 Mei 2026 – Festival muzik rentas budaya, Latihan Pestapora Malaysia 2026 akhirnya mengumumkan barisan penuh artis yang bakal menggegarkan Stadium Hoki Nasional pada 15 Ogos ini, menampilkan gabungan nama besar dari Malaysia dan Indonesia.
Antara nama paling mencuri perhatian dari Indonesia ialah Tulus, Bernadya, Mahalini, Juicy Luicy, Romantic Echoes, Maliq & D’Essentials, Rhoma Irama Soneta serta Nadhif Basalamah, sekali gus menjanjikan malam penuh variasi muzik merentas generasi dan genre.
Tidak kurang hebat, barisan artis Malaysia turut tampil dengan nama-nama popular seperti Aisha Retno, Aziz Harun, Masdo, Insomniacks, Gerhana SkaCinta dan FUGŌ, yang bakal membawa gabungan persembahan solo serta kolaborasi khas buat peminat tempatan.

Lebih menarik, edisi kali ini bukan sekadar mempertaruhkan persembahan individu, malah mengetengahkan konsep kolaborasi rentas generasi dan rentas genre sebagai identiti utama festival.
Antara persembahan eksklusif yang dijangka menjadi tumpuan ialah Rhoma Irama Soneta x Maliq & D’Essentials, Masdo x Gerhana SkaCinta, serta kolaborasi unik Nadhif Basalamah x Aziz Harun x Aisha Retno yang menjanjikan gabungan pengaruh muzik serumpun dalam satu pentas istimewa.
Festival anjuran Hitman Solutions dan Boss Creator itu turut menerima sambutan hangat menerusi jualan awal Blind Sale Tickets, sekali gus membuktikan permintaan tinggi peminat terhadap festival muzik Malaysia–Indonesia ini.
Dengan gabungan nama besar, kolaborasi eksklusif dan aura muzik serantau, Latihan Pestapora Malaysia 2026 dilihat bakal menjadi antara festival paling dinanti tahun ini.

Photo by : Muzakkir Reza



