Aizat Amdan & Sekumpulan Orang Gila Tampil Dengan Eksperimen Muzik Baharu.

img 4702

AMPANG, 14 Mei 2026 – Penyanyi dan komposer terkenal Aizat Amdan tampil dengan sebuah eksperimen muzik baharu menerusi single “Ajar Aku”, hasil kolaborasi unik bersama band post-hardcore popular Sekumpulan Orang Gila. Diterbitkan di bawah Kasi Gegar Entertainment, karya tersebut menggabungkan elemen pop alternatif, rock progresif dan sentuhan sinematik dalam satu komposisi yang segar serta berani.

Menurut Aizat, “Ajar Aku” lahir secara spontan ketika sesi rakaman podcast “Dari Studio Podcast”, apabila perbualan santai bersama anggota Sekumpulan Orang Gila berkembang menjadi proses kreatif menghasilkan lagu secara langsung. Kolaborasi itu disifatkan sebagai simbol keberanian dua identiti muzik berbeza yang sanggup keluar daripada zon selesa demi menghasilkan karya lebih jujur dan bereksperimen.

Lagu tersebut membawa tema reflektif mengenai perjalanan hidup manusia, penerimaan nasihat dan proses pembelajaran sepanjang kehidupan. Gabungan vokal lembut Aizat bersama karakter suara agresif vokalis SOG menghasilkan keseimbangan bunyi yang unik, sekali gus memberikan pengalaman muzik yang beremosi dan dramatik kepada pendengar.

img 4703.jpg

Menariknya, single ini turut menampilkan kemunculan istimewa Yuna di penghujung lagu. Menurut Aizat, bahagian vokal wanita pada asalnya hanya menggunakan suara AI sebagai demo sementara sebelum Yuna sendiri bersetuju menyumbangkan vokal sebenar selepas mendengar lagu tersebut di studio. Kehadiran Yuna dianggap melengkapkan lagi identiti artistik “Ajar Aku”.

Single “Ajar Aku” kini sudah boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube. Aizat berharap karya itu dapat membuka ruang baharu buat muzik tempatan untuk terus berevolusi tanpa mengorbankan emosi serta kejujuran dalam berkarya.

img 4704.jpg

Photo by : Muzakkir Reza

Scroll to Top